Mereka mula berikhtiar untuk mencari jalan untuk menghalang berulangnya peristiwa yang menyebabkan ketakutan, penderitaan, tekanan emosi, syak wasangka dan sebagainya. Mereka sedia maklum bahawa kebanyakan peristiwa ini adalah di luar bidang pengetahuan mereka. Justeru itu, mereka berasa bahawa terdapat suatu kuasa luar yang ghaib di sebalik semua peristiwa yang luar biasa itu; mungkin "tuhan atau dewa".
Upacara mengorbankan binatang dan menyembah diadakan dengan harapan dapat memuja kuasa luar biasa ini. Apabila tuah datang, mereka akan mengadakan majlis kesyukuran sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan kerana mereka berpendapat mungkin tuhan yang bertanggungjawab di sebalik tuah itu. Mereka berharap mendapat perlindungan daripada tuhan melalui upacara keagamaan seperti ini supaya tidak menghadapi banyak kesulitan dalam kehidupan. Dengan berkembangnya konsep ini, upacara dan perayaan keagamaan pun mula berkembang.
Masyarakat yang berlainan mengadakan perayaan yang berbeza mengikut keperluan serta kedudukan geografi mereka. Dengan bertambahnya upacara pemujaan ini serta falsafah di sebaliknya, 'agama' menjadi satu bahagian intrinsik di dalam setiap tamadun manusia. Asas agama pada mulanya adalah untuk kemandirian manusia yang berpunca daripada syak wasangka dan salah faham tentang hidup serta fenomena semula jadi alam yang mengerikan. Kesemua ini merupakan asas bagi!agama sebagaimana bahan-bahan seperti batu-bata, simen dan tanah digunakan untuk membina asas bagi sesebuah bangunan.
Agama kemudian dikayakan lagi dari segi rupanya supaya kelihatan menarik dengan memperkenalkan unsur keyakinan, pemujaan, penyembahan, etika, moral serta nazar yang kesemuanya dijalankan ke atas nama tuhan demi mengawal umat manusia. Mereka juga berharap dapat mencapai satu alam kebahagiaan yang berkekalan serta ketenangan roh.
ASAS DAN LAHIRNYA AGAMA BUDDHA
Beberapa ratus tahun kemudiannya, satu agama baru, agama Buddha muncul. Buddha tidak memperkenalkan atau menggunakan sebarang daripada kepercayaan kuno itu. Beliau tidak mengeksploitasi konsep tuhan, teori roh, syurga atau neraka yang berkekalan untuk membentuk agama Buddha. Beliau tidak mengeksploitasi ketakutan manusia atau salah faham mereka tentang fenomena yang berlaku di dalam alam semesta untuk menyokong ajarannya.
Beliau tidak menuntut umatnya menerima ajarannya dengan membuta tuli atau mengadakan upacara yang sia-sia. Beliau tidak menggalakkan amalan menyeksa diri atau menurunkan hukum yang wajib untuk pengikutnya. Beliau tidak menuntut kewibawaan sebarang kuasa ghaib untuk mengukuhkan hujahannya. Buddha juga telah memperkenalkan banyak perkara seperti sifat sebenarnya kehidupan duniawi, fenomena alam dan kosmik, ciri sebenar minda dan jasad, kaitan juzuk dan tenaga, moral, perkembangan spirituil, disiplin, latihan pemikiran mental, pengetahuan, kearifan dan Pencerahan Sempurna.
Beberapa konsep yang diajarnya juga terdapat di dalam agama lain, misalan karma - hukum sebab dan akibat serta etika-etika tertentu. Akan tetapi Buddha tidak mengajarinya dengan cara yang sama atau memberi pengertian yang sama kepadanya. Beliau telah memperbaiki dan memperkenalkan secara saintifik dan rasional.
BUDHA AGAMA YANG BEBAS
Agama Buddha bukanlah satu gabungan beberapa agama atau idea-idea agama yang berbeza. Buddha tidak mengambil ajaran daripada agama lain, mengumpulkannya dan kemudian memperkenalkannya sebagai agama Buddha. Sebaliknya, beliau menyedari bahawa tiada seorang guru agama pun yang dapat menemui kebenaran mutlak dan jalan untuk membebaskan diri daripada belenggu hidup.
Beliau menerangkan bahawa guru agama lain hanya dapat mencapai tahap tetentu sahaja di dalam pencapaian kuasa duniawi dan perkembangan spirituil mereka. Mereka masih tidak dapat mencapai minda yang suci sepenuhnya atau membebaskan diri daripada tanggapan yang salah, khayalan, kejahilan, kecemaran minda, salah faham, imaginasi dan kepercayaan yang karut.
Tujuan sebenarnya suatu 'agama' boleh difahami apabila kita mengkaji cara Buddha memperkenalkan "jalan hidup beragama yang mulia" ini. Jika kita menggunakan istilah 'agama' apabila membincangkan ajaran Buddha, kita juga harus memahami tafsiran berlainan yang diberikan bagi istilah ini oleh pengikut agama lain. Justeru itu, sesiapa pun dapat memahami mengapa agama Buddha diperlukan walaupun terdapat begitu banyak sekali agama lain di dalam dunia ini.
Admin : Andi Akbar M
Blog Tenaga Sosial Sidenreng Rappang
BAGIKAN KE TEMAN ANDA