HADAPILAH KENYATAAN
Walaupun Buddha telah memberi lebih penekanan kepada spirituil, beliau tidak pernah mengabaikan kemajuan duniawi manusia. Di dalam ajarannya kita akan menemui nasihat yang praktikal untuk bekerja dengan betulnya tanpa membuang masa serta berusaha dan bertindak dengan bijaknya demi kemajuan umat manusia. Beliau menyatakan bahawa seseorang harus menunaikan kewajipannya kepada keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan, masyarakat, negara serta seluruh dunia.
Oleh itu umat Buddhis tidak harus mengabaikan tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk menjadikan dunia ini lebih aman dan bahagia dengan menyumbangkan tenaga mengikut kemampuan masing-masing. Buddha tidak campur tangan dalam urusan kerajaan atau undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. Buddha tidak menentang sebarang adat sosial dan tradisi sekiranya adat itu tidak merugikan tetapi sebaliknya memberi manfaat kepada masyarakat. Pada masa yang sama beliau tidak menggunakan kuasa politik atau tentera untuk mengembangkan ajarannya walaupun terdapat raja dan menteri yang menjadi pengikutnya.
Agama ini yang mengajar kita untuk berbakti kepada orang lain, mengorbankan keselesaan hidup untuk menolong umat manusia serta mengikuti disiplin dan peraturan agama bukannya kerana telah diturunkan oleh suatu kuasa ghaib tetapi diamalkan secara sukarela. Dengan mengikuti prinsip yang baik seperti ini berdasarkan keyakinan diri, kita bukan sahaja mendapat peluang untuk menjadi sempurna tetapi kita juga dapat membantu orang lain hidup dengan tenteram.
Penyempurnaan ini ialah tahap tertinggi yang harus dicapai demi menyelamatkan diri seseorang. Penyempurnaan ini tidak boleh dicapai melalui pertolongan mana-mana tuhan ataupun orang tengah. Mengikut agama ini, kita dapat melihat akibat semua perbuatan baik atau buruk di dalam jangka hidup ini sendiri. Kenikmatan syurga atau Nibbana dapat diselami di dalam hidup ini juga. Tidak perlu tunggu hingga mati untuk melihat akibat tersebut seperti yang diajar dalam agama lain.
Sebab itulah Buddha selalu mempersilakan kita untuk datang dan menyelidik ajarannya, bukannya datang dan mempercayai secara membuta tuli. Beliau juga menasihati kita untuk memilih satu agama yang sesuai dengan menimbangkan serta menyelidik dengan pelbagai cara tanpa berdasarkan emosi ataupun kepercayaan membuta tuli. Inilah sebabnya agama Buddha dikenali sebagai ajaran yang berasaskan analisis. Di sini, kita dapat melihat analisis minda dan jasad dari segi saintifik mahupun falsafah. Aspek ini sudah tentu merupakan suatu aspek yang dihargai oleh para cendekiawan moden.
Admin : Andi Akbar M
Blog Tenaga Sosial Sidenreng Rappang
BAGIKAN KE TEMAN ANDA