HUKUM SEJAGAT - KARMA
Bukti hukum karma tersebut dapat dilihat dewasa ini. Sejak revolusi perindustrian pada abad yang lalu, kawasan yang luas telah dibiarkan begitu saja. Lautan dan sungai juga telah tercemar ke satu tahap yang tidak mungkin dapat dipulihkan semula kerosakan yang telah dilakukan terhadap sumber alam semula jadi kita. Perkara ini berlaku kerana manusia terlalu tamakkan kemewahan material serta jahil tentang keseimbangan antara manusia dengan alam semula jadinya.
Adalah mustahil untuk kita melarikan diri daripada kejadian semula jadi seperti ini dengan hanya sembahyang atau menyembah kepada tuhan kerana hukum sejagat ini adalah adil dan saksama bagi semua. Buddha telah mengajar kita cara untuk menghentikan sebahagian daripada amalan jahat dengan melaksanakan lebih banyak amalan baik. Kita dapat melakukannya dengan melatihkan minda kita serta menyingkirkan fikiran yang jahat daripada minda.
Setelah melanggar hukum alam semula jadi, tidak ada cara lain untuk menghalang akibatnya daripada bertindak kecuali berusaha selari dengan hukum tersebut. Sikap semata-mata mementingkan diri sendiri harus diubah kepada semangat ingin berbakti kepada orang lain. Sikap tamak haloba pula harus diubah menjadi sikap kedermawan.
Buddha telah mengajar tentang karma. Seorang ahli psikologi yang terkenal bernama Carl Jung telah menerima karma sebagai kesedaran deria terkumpul (collective consciousness) yang sebenarnya merupakan pengumpulan benih karma di dalam tenaga mental. Selagi kesedaran deria terkumpul dan kemahuan untuk terus hidup masih berada di dalam minda sebagaimana yang diterangkan oleh ahli-ahli falsafah, tumimbal lahir yang baru akan terus berlaku tidak kira sama ada kita mempercayainya atau tidak.
Unsur jasad akan mengalami disintegrasi tetapi arus mental bersama dengan ‘’kemahuan untuk terus hidup" akan disalurkan dan satu tumimbal lahir yang baru akan terbentuk bergantung kepada kesedaran deria terkumpul tadi. Hukum graviti dan keabadian tenaga yang dirumuskan oleh ahli sains moden seperti Newton menyokong ajaran tentang karma (hukum sebab dan akibat) yang telah diajar oleh Buddha.
Mengikut Buddha, seorang manusia pun berkebolehan menjadi tuhan jika dia hidup berlandaskan satu jalan hidup yang benar tidak kira apapun agamanya. Akan tetapi agama lain pula menasihati umat manusia untuk bersembahyang kepada tuhan supaya diberkati rahmatnya. Agama lain juga mengajar bahawa hanya selepas kematian seseorang, barulah dia akan pergi ke syurga. Akan tetapi kenikmatan syurga itu tidak bermaksud bahawa manusia dapat menjadi tuhan. Bagaimanapun konsep Buddhis tentang tuhan adalah berbeza daripada agama lain.
Semua pengasas agama lain tidak pernah menyatakan bahawa pengikutnya juga mempunyai peluang untuk mencapai kebahagiaan, ketenteraman, kenikmatan dan penyelamatan diri sama seperti yang diperoleh oleh pengasas agama tersebut. Tetapi Buddha pula menyatakan bahawa sesiapapun dapat menjadi Buddha jika beliau sanggup mengamalkan kesempurnaan dan jalan yang telah dipraktikkan olehnya.
BAGIKAN KE TEMAN ANDA